Informasi
Inflasi Dan Kejatuhan Mata Wang Turkiye
Memberi Impak Besar Kepada Industri Pelancongan

Peningkatan kadar inflasi di Turkiye memberi kesan kepada penduduk tempatan dan pelancong. Kredit Foto: Bloomberg
Oleh Team Musafir Sedunia
1 Januari 2025
Kongsi Artikel
Inflasi dan kejatuhan mata wang bukanlah sesuatu yang baru untuk Turkiye. Negara yang merupakan antara destinasi pelancongan popular dunia ini telah mengalami inflasi bermula dari tahun 2013 sehingga kini. Peningkatan inflasi sehingga angka dua digit dari tahun tersebut akibat dasar monetari dan fiskal yang longgar, serta penyusutan nilai mata wang yang tinggi. Menjelang 2022, Turkiye menghadapi salah satu daripada kadar inflasi tertinggi di dunia, didorong oleh pelonggaran dasar monetari yang agresif di tengah-tengah pengaruh politik ke atas pembuatan keputusan bank pusat.
Inflasi harga pengguna di Turkiye berpurata 17.9% dalam tempoh sepuluh tahun hingga 2022, iaitu melebihi purata serantau Eropah Timur sebanyak 7.7%. Angka purata 2022 ialah 72.3% yang merupakan nilai inflasi tertinggi di dunia ketika itu dan yang tertinggi dalam tempoh 40 tahun. Sektor pengangkutan, makanan dan perumahan menyaksikan kenaikan harga terbesar dalam sejarah dengan kadar kenaikan tahunan mencecah 186.27%.
Bagi tahun 2024, Turkiye mencatatkan kadar purata inflasi sebanyak 69.13% dengan kadar tertinggi mencapai sehingga 75.45% padfa bulan Mei 2024 melibatkan sektor-sektor yang sama.

Grand Bazaar di Istanbul, Turkiye . Kredit foto: Travel News
Turun naik dalam inflasi ini boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk dasar kewangan, gangguan rantaian bekalan dan keadaan ekonomi. Dasar kewangan Turkiye yang secara berterusan menurunkan kadar faedah kewangan menyebabkan penurunan nilai matawang Lira yang secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan drastik inflasi. Ditambah dengan fakta di mana Turkiye bergantung kepada barangan import terutama barangan keperluan harian seperti bahan masakan dan makanan turut mencatatkan peningkatan harga yang menjurus kepada inflasi.
Semestinya kesan inflasi di Turkiye ini sedikit sebanyak menjejaskan perbelanjaan pelancong di negara terbabit. Turkiye yang sememangnya merupakan destinasi pelancongan popular di dunia, tetap menerima kunjungan pelancong dari seluruh dunia berikutan tarikan sejarah dan kebudayaaanya tetapi peningkatan harga makanan dan perkhidmatan menjadi isu utama di kalangan pengunjung. Harga makanan di tempat-tempat popular pelancongan mencatatkan harga yang agak tinggi setanding bandar eropah yang lain. Sesetengah premis, pusat pelancongan dan restoran menggunapakai mata wang Euro berbanding Lira seterusnya menjadikan harga jualan semakin tinggi.

Haghia Sofia merupakan ikon pelancongan paling popular di Turkiye. Kredit Foto: Istanbul Tour Studio
Walaubagaimanapun, Turkiye masih berbaloi untuk dikunjungi oleh rakyat Malaysia berikutan keunikan dan kepelbagaian makanan halal yang mudah didapati di sana. Pengurusan kewangan serta perancangan perjalanan yang rapi perlu dibuat bagi mengelakkan anda berbelanja lebih tinggi daripada sepatutnya dan mendapat pulangan berbaloi daripada kunjungan anda ke sana.
Follow page kami Musafir Sedunia di Facebook & X untuk mendapatkan semua maklumat terkini berkaitan pelancongan dan destinasi di seluruh dunia.
Musafir Sedunia menawarkan Tips, Info Am, Berita serta pelbagai maklumat berkaitan pelancongan dan permusafiran terus kepada anda.
Tags
TERKINI DARI MUSAFIR SEDUNIA

Informasi
5 Persepsi Umum Terhadap Golongan Backpackers
16 Februari 2025

Tips
Panduan Membawa Drone Ke Luar Negara
28 Februari 2025

Destinasi
7 Fakta Unik Mengenai Korea Selatan
12 Februari 2025
Tips & Info Penerbangan
Mengelak Terbang Merentasi Pergunungan
20 Februari 2025