Info & Tips Penerbangan
7 Tips Memilih Tempat Duduk dalam Pesawat
Bagi Mendapatkan Lokasi Kerusi Pilihan Anda
Susun atur kerusi pesawat di ruangan kabin ekonomi biasa. Kredit foto: USA Today
Oleh Team Musafir Sedunia
7 Disember 2024
Kongsi Artikel
Tempat duduk di dalam pesawat adalah antara perkara penting untuk setiap individu yang menaiki pesawat terutama untuk perjalanan ke luar negara yang memakan masa berjam lamanya. Faktor keselesaan, privasi, ingin bersama pasangan/anak/rakan antara kriteria utama yang digunakan oleh setiap individu dalam memilih tempat duduk di dalam pesawat. Setiap individu mempunyai pilihan kegemaran tersendiri sama ada ingin tempat duduk bersebelahan tingkap, bersebelahan lorong jalan atau di barisan hadapan untuk mendapat ruang luas bagi tempat duduk kelas ekonomi. Apapun pilihan anda, adalah penting untuk anda merancang bagi mengelakkan ketidakselesaan atau ketidakpuasan hati anda semasa penerbangan yang akan mengganggu keseronokan perjalanan anda.
Berikut ialah beberapa tips untuk membantu anda mendapatkan tempat duduk terbaik dalam kapal terbang:
1. Tempah Awal
Tip ini mungkin dianggap biasa tetapi amatlah penting sebagai langkah awal untuk mendapatkan tempat duduk pilihan. Lebih awal anda menempah tiket penerbangan anda, lebih banyak pilihan tempat duduk yang anda akan ada. Anda digalakkan untuk menempah awal sekiranya tarikh perjalanan anda melibatkan destinasi popular dan semasa waktu kemuncak percutian seperti musim panas pertengahan tahun atau musim cuti krismas dan tahun baru di akhir tahun.
2. Tentukan Pilihan Anda
Tentukan pilihan tempat duduk anda jika anda lebih suka bersebelahan tingkap, lorong atau tempat duduk berhampiran pintu keluar. Faktor seperti ruang kaki, jarak dengan tandas, akses mudah untuk bergerak atau tidak mahu diganggu ketika tidur antara perkara yang diambil kira ketika memilih tempat duduk di dalam pesawat.
Setiap pesawat mempunyai aturan peta kedudukan kerusi penumpang di dalam kabin . Kredit foto: Executive Club Lounges
3. Pertimbangkan untuk Membayar Tempat Duduk Anda
Jika mempunyai tempat duduk tertentu adalah penting bagi anda, mungkin berbaloi untuk membayar bagi pemilihan tempat duduk. Hampir kesemua syarikat penerbangan kini menawarkan pilihan tempat duduk dengan beberapa peringkat harga berdasarkan lokasi dan kedudukan kerusi. Ini adalah penting terutamanya untuk penerbangan jarak jauh atau bagi mereka yang tidak mahu diganggu sekiranya ingin tidur dengan lena di bahagian tingkap pesawat.
4. Ketahui Aturan Kerusi Pesawat
Anda akan dipaparkan dengan peta kerusi di dalam pesawat semasa urusan tempahan tiket penerbangan anda untuk anda pilih dengan harga tertentu atau percuma bergantung kepada syarikat penerbangan. Sekiranya tiada maklumat yang anda peroleh semasa tempahan atau tempahan melalui ejen, anda boleh merujuk kepada laman web seatguru.com bagi mengetahui susunan kerusi penumpang pesawat yang anda bakal naiki dengan hanya memasukkan kod kapal terbang.
5. Daftar Masuk Awal
Daftar masuk dalam talian biasanya dibuka 24-48 jam sebelum penerbangan. Mendaftar masuk awal boleh memberi anda akses kepada pilihan tempat duduk yang lebih baik yang mungkin masih kosong sekiranya anda memilih untuk tidak membayar untuk pilihan tempat duduk semasa tempahan atas talian. Sekiranya syarikat penerbangan tidak menawarkan pendaftaran masuk online, anda perlu hadir awal ke kaunter bagi mendapatkan tempat duduk pilihan anda.
6. Bersikap Ramah semasa Daftar Masuk
Kadangkala, bersikap sopan dan mesra kepada kakitangan di kaunter semasa urusan daftar masuk bagasi boleh membantu anda mendapatkan tempat duduk yang lebih baik di dalam pesawat. Tidak salah untuk anda bertanya sama ada terdapat tempat duduk yang anda inginkan semasa urusan daftar masuk di kaunter terutama jika pesawat tidak penuh atau anda menaiki pesawat bukan pada musim kemuncak percutian.
7. Bertanya dengan pramugari ketika menaiki pesawat
Jika semuanya gagal, anda sentiasa boleh bertanya kepada pramugari sebaik sahaja anda berada di dalam pesawat jika terdapat sebarang tempat duduk yang lebih baik. Kadangkala, mereka boleh memenuhi permintaan anda sekiranya terdapat kekosongan tempat duduk di lokasi yang menjadi pilihan anda.
Follow page kami Musafir Sedunia di Facebook & X untuk mendapatkan semua maklumat terkini berkaitan pelancongan dan destinasi di seluruh dunia.
Musafir Sedunia menawarkan Tips, Info Am, Berita serta pelbagai maklumat berkaitan pelancongan dan permusafiran terus kepada anda.
Tags
TERKINI DARI MUSAFIR SEDUNIA
Informasi
Tuntutan Cukai Tempatan (Local Tax Refund)
6 Januari 2025
Tips
Terlepas Penerbangan
5 Januari 2025
Destinasi
7 Negara Selamat Untuk Pengembara Solo
5 Januari 2025
Tips & Info Penerbangan
Menara kawalan Udara
5 Januari 2025